Kini, sesiapa pun boleh meninggalkan komentar. Dijemput meninggalkan komentar jika berminat. Akan tetapi, setiap komentar akan ditapis terlebih dahulu. Jika menyerang individu, ianya tidak akan dipamerkan.

19.11.09

Penulis dan Pelakon Dicari

Dalam bidang teater terdapat banyak cabang yang dituju oleh pembuat dan penonton. Ada yang menjadikan teater sebagai medan propaganda idea, tujuan kritikan sosial, tujuan rawatan terapi, tujuan seni dan banyak lagi. Semua ini bergerak atas kehendak manusia yang melibatkan diri di dalam teater itu sendiri. Ada yang mahu terlibat dengan teater untuk menjadi bintang filem atau sekurang-kurangnya pelakon ekstra di slot Samarinda. Ada juga yang melibatkan diri untuk mendalami ilmu lakon dan kerja pengarahan atas tujuan kesenian. Ada juga yang melibatkan diri atas tujuan kemanusiaan kerana menganggap teater dapat memberikan fungsi terapi. Hal terapi ini dapat membolehkan hubungan yang baik sesama manusia akibat memahami perwatakan manusia lain yang hidup di sekeliling mereka. Dan ada juga yang memilih teater untuk tujuan perniagaan semata.

Aku – tidak pasti di dalam kategori yang mana. Tetapi tidak dalam kategori yang terakhir iaitu tujuan komersil. Aku buat sebab aku nak buat. Selalu aku perkatakan tentang ini kepada diri aku sendiri. Kadang kala aku kongsi dengan kawan-kawan yang lain.

Erm, aku tidak cukup pandai membuat pengenalan yang baik. Tapi apa yang aku nak sampaikan sebenarnya adalah, ada ramai orang cakap dan berpendapat membuat teater memerlukan tenaga kerja dan duit yang mencukupi bagi memastikan persembahan itu berjaya. Aku menolak itu sama sekali. Ada beberapa alasan yang membuatkan aku berkata demikian.

Berbeza dengan filem yang menggunakan visual sebagai medan untuk menyampaikan naratif, teater menggunakan perkataan (atau kata-kata atau dialog). Sebab itu apabila merujuk kepada teater orang akan merujuk kepada penulis karya tersebut. Kecuali persembahan teater yang kontemporari di mana fungsi pengarah dilihat sama penting untuk menyampaikan maksud di sebalik kata-kata melalui visual (aksi lakon, sinografi). Tidak hairan jika karya-karya Shakespeare, Sophocles, Euripedes, Anton Chekhov, Tennessee William dan selainnya sering dipentaskan kembali tetapi menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut acuan pengarah. Di dalam konteks tempatan, karya-karya yang sering mendapat perhatian untuk dipentaskan adalah Mayat dan Kerusi (Hatta Azad Khan), Bukan Bunuh Diri dan Ana (Dinsman), Angin Kering (Johan Jaafar) dan banyak lagi karya yang dipentaskan setiap kali festival teater peringkat negeri dan juga kebangsaan. Seolah-olah negara kita ini tidak ada karya baru yang bermutu untuk digunakan.

Berbalik pada isu tadi. Berbanding filem, teater menggunakan kata-kata sebagai alat untuk menyampaikan naratif dan menggerakkan plot selain menyampaikan idea-idea. Jika dilihat kepada skrip Yunani kuno dan Shakespeare tiada arahan pentas yang diberikan kecuali keluar masuk pelakon sahaja. Tidak ada arahan seperti dalam skrip Oedipus – Korus pergi melutut di bawah kaki Creon dan sebagainya. Hal ini kerana penulis hanya menyampaikan idea melalui penulisannya. Jadi siapa yang menjadi alat dalam menyampaikan wadah penulis? Jawapannya adalah pelakon. Pengarah? Fungsi pengarah hanya wujud untuk memastikan kelancaran persembahan sahaja dari awal hingga akhir. Jadi, pada dahulu kala, penulislah yang memastikan ideanya dapat dicurahkan melalui persembahan.

Pelakon cuma menjadi alat untuk menyampaikan makna teks dan juga di sebalik teks (subteks) sahaja. Itulah antara sebab aku tidak mahu jadi pelakon sebab aku tidak mahu menjadi alat. Aku tidak mahu diperalatkan (hehehe. Tambahan, aku tidak punya badan yang sasa untuk bergelar hero filem Malaya mahupun pelakon teater yang hebat). Jadi untuk mengembalikan fungsi teater kepada asalnya adalah dengan adanya penulis dan juga pelakon. Mungkin tiada penulis tetapi ada idea yang perlu dicerna oleh seseorang untuk memastikan persembahan tersebut dapat dijayakan. Jadi, teater itu bukanlah duit dan krew yang melambak-lambak serta kecanggihan teknikal. Semua itu juga adalah alat sahaja untuk menyampaikan mesej dengan lebih mudah.

Ada sesetengah orang percaya sesuatu teater itu tidak berjaya dengan kekurangan bajet dan kecanggihan teknologi. Mereka mula menjadikan hal duit sebagai halangan untuk berkarya dan melontarkan idea. Oleh itu, ada beberapa individu atau kumpulan yang tidak mahu mementaskan teater atas sebab itu. Jerzy Grotowski melontarkan pendapatnya dengan konsep Poor Theatre. Dia membuktikan bahawa dia boleh mementaskan teater dengan tanpa duit, ruang pentas yang spesifik (panggung teater), teknik pencahayaan yang canggih dan sistem audio yang berdegam-degum. Dia menolak hal duit dan modal untuk mementaskan teater supaya total persembahan teater itu terletak pada batu jemala penulis skrip dan juga alat untuk menyampaikan dialog tulisannya iaitu pelakon.

Bukan aku hendak merendahkan profesyen pelakon teater. Apa yang aku nak beritahu adalah, fungsi teater itu perlulah diletakkan di atas penulis dan juga pelakon. Sebab itu pelakon perlu mendalami ilmu lakon dengan baik supaya idea penulis dapat disampaikan dengan baik melalui pengucapan, aksi lakon dan juga psikologi melalui lakonan tersebut. Sebab itu pelakon perlu belajar teknik vokal dengan baik supaya dialog (iaitu idea penulis) yang dilafazkan itu punya tenaganya tersendiri. Perlu belajar relaxation untuk membolehkan dialog itu dilafazkan tanpa terasa terlalu berat.

Jadi, pada aku untuk mementaskan teater, jangan sebut persoalan material dahulu. Sebab itu semua kemudian. Yang penting adalah keupayaan menyampaikan idea. Guru aku pernah cakap dalam kelas pengarahan, tools pengarah adalah pelakon. Ada seorang guru yang lain juga bercakap, jika jika pengarah adalah raja maka penulis adalah Tuhan. Maka pengarah tidak boleh mengenepikan idea penulis dengan sewenang-wenangnya. Dalam teater, idea penulis perlu diangkat melebihi idea pengarah. Tugas pengarah adalah mengangkat idea penulis ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh di dalam skrip teater, ada arahan pentas seperti, Adam pergi mendapatkan Atan dan memeluknya. Pengarah tidak boleh mengenepikan arahan pentas ini atas sebab dia tak tahu apa nak buat dan tidak merasakan perlunya berbuat demikian. Lantas mengenepikan idea penulis dalam adegan tersebut. Adegan ini tidak boleh diketepikan oleh pengarah kerana dia perlu mencari motivasi yang perlu diberikan kepada pelakon supaya pelakon yang melakonkan watak Adam tadi tu, dapat pergi kepada Atan dan memeluknya dengan jujur mengikut aksi lakon yang sepatutnya. Dan tugas pelakon adalah memberikan kesan psikologi kepada aksi lakon/perlakuan itu.

Oh, sudah seperti dalam kuliah pula.

Aku menulis ini kerana ada ramai orang yang tidak percaya bahawa teater boleh dibuat tanpa duit dan subjek material. Sehinggakan mereka sanggup menunggu duit turun dari langit untuk mementaskan teater. Duit itu perlu tetapi bukan perlu disembah dan dijadikan tikar sembahyang atau dijadikan kiblat. Yang penting adalah idea dan alat untuk sampaikan idea. Jika ada dua ini sudah cukup untuk mementaskan teater. teater punya banyak cara untuk dipersembahkan. Banyak tempat untuk dipersembahkan. Cukup sekadar punya penonton (walau seorang), ada aksi (pelakon) pada waktu dan tempat yang dikongsi bersama.

p/s: mahu buat teater semester hadapan untuk tampung kos pembelajaran. Shoot! Zero budget tetapi pulangan lumayan. Damn! Berkiblatkan duit juga.

12.11.09

Pasca: Reban Ayam Itik

Aku masih ingat masa masih kecil, masa tu di Muar – di kampong aku sebelah ayah aku (ya, aku jawa). Masa kecil suka ikut ayah pergi kedai. Tapi masa tu aku tak ingat aku ikut siapa pergi ke kedai. Tapi yang pasti aku ingat aku pergi ke kedai di kawasan kampong tu. Dan sah-sah di kedai tersebut tidak banyak mainan yang tergantung elok seperti di kedai-kedai di bandar. Yang ada cuma jajan dalam telap, yang macam tak laku. Aku tak hairan langsung dengan tu semua pada masa tu. Tapi aku naik kagum dengan satu kotak pensil alatan geometri. Dalam tu ada jangka lukis, pembaris yang tiga segi tu, dan pensel kontot yang diikat bersama dengan jangka lukis tu. Sebenarnya aku nak pensil tu dengan pembaris je untuk menulis; walaupun masa tu aku belum pandai tulis pun.

Aku melalak di kedai tu untuk dapatkan set alat tulis geometri tu. Dan aku tak ingat dapat atau tidak. Tapi yang aku ingat selepas tu aku diberikan pensel dan buku untuk menulis. Balik rumah je, aku terus menulis. Tulis apa aku pun tak tahu sebab masa tu aku belum pandai tulis pun lagi. Aku rasa sebutan pun masih pelat-pelat lagi. Aku duduk betul-betul depan TV. Kebetulan azan masa tu. Aku tulis apa yang bilal tu sebut. Habis penuh 2, 3 mukasurat aku salin balik azan tu. Tapi tulisan aku tau tak betul sebab aku buat bulat-bulat yang bercantum-cantum. Punyalah teringin nak menulis masa tu. Biarlah salah pun, janji dapat tulis.

Lepas tu aku masuk tadika dan seterusnya. Aku terpilih untuk terus menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam sains komputer. Menulis lagi. Kali ni menulis aturcara. Aku diberi masalah dan seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah. Menyiapkan programming. Tapi disebabkan aku ni ‘rajin’ gila babi masa belajar Sains Komputer tu, aku gagal dan aku tak sempat menulis satu aturcara pun sehingga siap. Aku hanya tau asas je. Tau sampai pseudo-kod sahaja. Lepas tu aku dah tak reti dah. Hahaha. Sebab tu aku tak boleh jadi pengaturcara agaknya. Susah rupanya menulis programming ni. Aku bukan orang seperti itu kot.

Selepas itu, aku menyambung pengajian di universiti lain pula. Turun ke diploma semula. Ambil teater. Kali ini aku tidak menulis. Hanya terlibat di atas pentas. Hanya ketika aku berada di semester ke-lima aku menulis sebuah monolog “Tangan Kiri Ayah” untuk dipertandingkan secara kecil-kecilan di fakulti. Syukur, dengan karya itu aku mendapat persembahan terbaik dan juga karya asal terbaik. Sejak dari itu, aku rasakan aku perlu menulis. Tangan Kiri Ayah merupakan satu tribute kepada ayah aku sendiri. Karya itu dihasilkan dalam leboh kurang 30minit untuk persembahan kurang 10 minit. Dengan karya itu, aku sudah mementaskan di beberapa tempat. Rumah Pena, Malam Lagu, Puisi dan Kopi, Makan Malam Korporat (yang penganjurnya tak bayar payment lagi RM450. Sial!). Dan selepas beberapa tahun, karya itu dipilih oleh kawan aku sendiri untuk dipentaskan sempena pertandingan teater dwi-tahunan. Aku rombak balik skrip asal dan tambah mengikut kehendak penganjur. Pelakonnya ditukar kepada watak perempuan.

Aku kira, Tangan Kiri Ayah adalah titik mula aku menulis skrip teater. Selepas itu aku menulis Barah pada tahun 2007. Walaubagaimanapun, karya ini belum dipentaskan lagi atas sebab tertentu. Aku masih belum bersedia untuk mengarah teater ini pada waktu skrip itu dihasilkan. Tetapi jika diberikan peluang dalam masa terdekat ini, aku bersedia menerima cabaran untuk mengarahkan skrip itu.

Selepas Barah, aku menulis Berani Mati. Skrip itu pada asalnya dihasilkan untuk tujuan tugasan kelas tetapi dalam masa yang sama aku sememangnya mahu menghasilkan skrip panjang yang dapat digunakan untuk tujuan pementasan. Jadi, jadilah skrip itu. Dihasilkan pada tahun 2008 – setahun selepas aku tulis Barah. Lepas itu aku tulis beberapa karya pendek untuk pementasan 10 minit lebih kurang. Waiting For Godot Too yang dipentaskan di Festival Short+Sweet 2009 di KLPAC dan Kotak Hitam yang dihantar untuk menyertai pertandingan. Kotak Hitam belum dipentaskan lagi.

Pada awal tahun hari tu, aku telah tanam azam, aku mahu tulis paling kurang dua skrip panjang. Hahaha. Lawak sial. Azam yang aku rasa tak pernah aku azamkan sebelum ini. Biasa aku berazam untuk berhenti merokok, belajar rajin-rajin dan sebagainya (yang tipikal) tapi kali ni aku rasa macam poyo sebab tulis skrip. Haha. Tapi peduli apa aku. Biarlah orang cakap aku poyo dan macam bagus pun. Sebab aku memang poyo dan memang bagus. Jadi ianya tidak menimbulkan masalah pada kau kan. Yang kau sibuk apahal.

Berbalik kepada cerita. Aku dah berjaya tulis satu karya pada tahun dan berjaya dipentaskan baru-baru ini. Reban Ayam Itik. Sudah lama aku terfikir untuk membuat pementasan teater kanak-kanak selepas aku melihat hasil kerja Julie Taymor dalam Lion King. Begitu taksubnya aku dengan kerja dia. Aku cakap, aku nak buat cerita pasal ayam sebab ayam adalah simbol kepada kekuatan bagi orang kampong. Ada banyak simpulan bahasa yang dikaitkan dengan ayam. Jaguh kampong, ayam tambatan, hangat-hangat tahi ayam, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga, kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan banyak lagi. Jadi pada aku ayam adalah binatang yang unik dan menonjolkan kelainan. Tambahan aku orang kampong (ya, aku budak kampong. Kenapa?). Jadi binatang ini dekat dengan jiwa aku.

Aku pilih reban sebab di situlah simbol kepada kampong ataupun rumah yang kita duduki sepatutnya. Di dalamnya terdapat berbilang kaum. Ada itik, ayam belanda, ayam katik, angsa dan sebagainya. Mereka boleh hidup di dalam satu reban. Jadi, aku mahu kanak-kanak lihat dari perspektif ini. Lagipun, hidup di bandar ini tiada apa yang aku rasa best. Dah la jauh dari alam, jauh dari binatang pula tu. Nak jumpa ayam pun jarang-jarang. Ada sekali aku balik kampong dan ada sepupu kecil aku yang duduk dan dibesarkan dibandar. Dia nampak ayam tetapi dia cakap itu burung. Kasihan aku tengok mereka ni. Jadi aku tulis skrip ini atas tujuan itu, mendekatkan kampong dengan kanak-kanak bandar. Supaya mereka tidak lupa ayam tu macam mana. Kampung itu apa.

Ternyata pada malam persembahan, semasa aku menghisap rokok di luar panggung sementara menunggu persembahan bermula, ada seorang pemuda bercakap menerusi telefon. Aku tidak berniat nak curi dengar tetapi dia bercakap dengan kuat. Maka aku terdengar. Dia cakap, “hello Datuk (atau Dato’), ya. Budak-budak ada dengan saya. Saya bawa tengok show ni. ya, ya.. ya, ya..” dan seterusnya. Aku tidak kisah pun siapa yang menonton persembahan tu. anak Datuk ke, Datuk ke, atau sesiapa pun sebab aku bukan buat persembahan untuk meraikan sesiapa sebab aku buat show untuk meraikan penonton. Jadi sesiapa yang datang tidak akan diraikan sebagai menteri atau Datuk atau anak datuk. Kau datang dan tengok sahaja. kalau kau dapat sesuatu, dapatlah. Tak kisah kau siapa pun. Apa yang aku harap, budak-budak tu (anak Datuk tadi tu) akan ajak bapak dia balik kampong dan tengok ayam. Selain jengah atuk dia yang berada di kampong.

Persembahan ini dijayakan oleh kawan-kawan aku juga. Terima kasih kepada mereka yang turut menjayakan persembahan ini. terima kasih juga kepada yang datang menonton. Sekali lagi, aku tidak rakam persembahan ini sebab aku tidak mahu melihat kembali hasilnya. Bukan aku cakap tak bagus untuk dirakam tetapi aku tidak mahu orang lain melihatnya dalam bentuk video. Teater sepatutnya ditonton di panggung bukan melalui video.

Aku mahu teruskan menulis. Aku pegang kata-kata yang aku tak ingat dipetik dari mana. tapi yang aku ingat Usman Awang yang cakap. “menulislah untuk menyatakan sikap” – lebih kurang. Ya. Aku setuju. Menulis untuk menyatakan sikap orang lain (atau masyarakat) dan juga sikap diri sendiri. sebab itu aku kata, menulis itu adalah berbogel dengan cara yang lebih seksi. Maka, tulislah.

9.11.09

Promosi: Reban Ayam Itik


Dijemput hadir untuk menyaksikan pementasan REBAN AYAM ITIK. Teater kanak-kanak ini ditulis dan diarahkan oleh Fasyali Fadzly bin Saipul Bahri. Masuk percuma. Komentar setelah selesai menonton dialu-alukan. Datanglah beramai-ramai dan bawa anak saudara, adik-adik dan juga kanak-kanak yang anda suka ke pementasan ini nanti.

8.11.09

Tarikh Penting

8hb Novermber 2009
- Exam Digital & New Media Theory

9-10hb Novermber 2009
- Persembahan Teater Kanak-kanak – Reban Ayam Itik

11hb November 2009
- Recce 2+2=5

12hb November 2009
- 2.00pm Exam Teater Asia
- 8.30pm Keruan di Sebuah Ruang Sedar @ Stor Teater DBP

13-14hb November 2009
- Produksi Teater Moden

16hb November 2009
- Rehearsal Whoa! Willow bermula.

25-26hb November 2009
- Shoot 2+2=5

7hb Januari 2009
Show Whao! Willow. Rehearsal tamat

Mid Januari 2010
- Praktikal bermula

April 2010
- Praktikal habis

Julai 2010
- Semester baru/akhir

Oktober/November 2010
- Degree Showcase

November 2010
- Habis belajar

2011
- Tunggu tajaan

5.11.09

Mimpi Mamat Supervisor Kilang

Kebelakangan ini aku sibuk dengan segala urusan persekolahan yang akan menjelang tamat pertengahan November ini. Agak kelam kelibut sebenarnya. Aku ada benda yang nak ditulis tapi tak tertulis sampai dah terlupa apa yang aku nak tulis.

Jadi begini sahajalah. Semalam, aku ada aku latihan teater untuk penilaian subjek. Ada latihan sampai petang dan selesai sahaja, Gadis meminta aku untuk pergi bersamanya membeli barangan untuk persiapan persembahan teaternya. Agak penat tetapi aku turuti. Jadi aku pun mengajak rakan aku untuk pergi bersama memandangkan aku tidak ada kereta, dan cuaca hujan pada ketika itu. Pergi jam 9 malam. Dan aku tidak mahu bercerita tentang apa yang dilakukan ketika perempuan membeli barangan. Lebih-lebih lagi di Uptown. Sampai di rumah jam 2 pagi. Aku sudah tidak larat untuk pulang ke rumah dan terus tidur di rumah kawan aku tadi tu. Jam 9 pagi aku harus bangun dan balik ke rumah untuk mandi dan sebagainya. Kerana jam 10.30 pagi ada latihan lagi. Duh...

Tetapi ada sesuatu perkara menarik untuk aku tulis. Pengalaman semasa tidur itu. Pada aku ianya nikmat sebab dah lama aku tidak bermimpi. Mimpi yang merepek-repek. Dan kalau tak silap aku, masa aku tidur mimpi yang aku alami sangat surreal. Ceritanya begini.

Peringatan: Logik akal tidak wujud di sini.

Aku menunggang motorsikal di lebuhraya. Di kawasan tol, aku pun memasuki lorong motorsikal. Tetapi di sebelah kawasan tol itu, ada sebuah bangunan kilang. Jadi laluan motorsikal yang aku gunakan itu adalah berhampiran kawasan kilang. Sebelah kanan aku lebuhraya, jalan yang aku lalui itu laluan motorsikal dan sebelah kiri aku adalah tempat punggahan barang kilang tersebut. Aku lalu di bawah bumbung tempat pemunggahan barang di kilang tersebut.

Nak dijadikan cerita. Aku telah terjatuh semasa melalui belakang kilang tersebut – betul-betul di bawah bumbung kilang tersebut. Ada beberapa pekerja kilang yang datang membantu aku. Tangan kanan aku habis tersagat jalanraya. Calar dan sudah tidak kacak.

Aku diubati di situ. Disapu ubat kuning. Luka aku dicuci. Motor aku pula sudah tidak terdapat dalam bayangan. Mana hilang pun aku tidak tahu. Tiba-tiba hilang begitu sahaja. Dan secara tiba-tiba juga ada seorang supervisor kilang yang datang menghampiri aku dan menghalau aku. Katanya, aku tak boleh berada di situ kerana itu kawasan kilang. Dia memarahi pekerja-pekerja kilang yang berada di situ kerana membenarkan aku untuk masuk ke kawasan larangan. Setelah supervisor itu memarahi aku, aku berniat untuk menulis tentang keburukan supervisor tersebut di dalam blog ini. Pada aku, supervisor tersebut sangat celaka. Dan aku pun mendapatkan motorsikal untuk pergi dari situ. Dan terjaga dari tidur.

Aku tak puas hati sebab aku tak dapat nak tulis entri tersebut masa dalam mimpi. Kemudian aku sambung tidur kembali dan syukur, aku kembali ke mimpi yang sama. Aku harap aku dapat menulis tentang keburukan mamat supervisor tu dalam mimpi. Sekurang-kurangnya, aku puas hati walaupun dalam mimpi.

Tetapi sambungan mimpi aku tidak bermula di tempat yang aku terjaga tadi. Pandai dia. Dia mula awal sikit saat aku jatuh motor. Dan ceritanya seperti biasa. Aku dirawati dan disapu ubat kuning. Dibersihkan luka-luka. Dan semasa aku bermimpi, aku mengharapkan kemunculan mamat supervisor tu akan datang dan kali ini aku akan memerhatikan dengan jelas fizikal mamat tu. Tetapi harapan tinggal harapan. Mamat tu tak datang kerja hari tu. Sial. Dia tak datang memarahi aku. Setelah aku dirawat, aku terus mencapai motor dan gerak balik melalui lebuh raya tersebut dengan hati yang tak tenteram.

Dan akhirnya aku terjaga. Sial. Mana mamat tu pergi? Aku tak sempat nak tulis pasal mamat tu dalam blog masa aku sedang bermimpi. Jadi, untuk melunaskan harapan surreal aku, aku terpaksa menulis ini untuk memuaskan hati aku sendiri. Bukan tulis pasal mamat tu, pasal mimpi aku yang merepek.

Aku geram gila sebab tak dapat jumpa mamat supervisor tu masa dalam mimpi. Aku ingat nak tumbuk muka dia masa dalam mimpi tu sebab perangai dia yang menyakitkan hati aku. Kalau dapat jumpa dia masa dalam mimpi tu, memang aku mimpi aku pagi tu akan menjadi sangat bermakna sebab pagi-pagi aku dah boleh senyum. Mengharungi awal pagi dengan semangat mimpi yang indah. Cis.

P/s: Aku berani tumbuk mamat tu sebab dia hanya wujud dalam mimpi.

30.10.09

Promosi: Cetus (Projek KL Fringe)


Info lanjut klik di sini.

26.10.09

Membunuh Idea

Hujung minggu yang lalu aku sempat hadir ke satu forum. Tak perlu dinyatakan di sini tetapi aku pasti ianya bukan seperti BTN ataupun modul sahsiah dan kecemerlangan ataupun sebagainya. Suka aku hadir ke forum seperti ini kerana uniknya forum ini, panel-panelnya adalah dari kalangan muda-mudi yang mempunyai semangat dan kekuatan untuk menyebarkan pemikirannya kepada orang awam (yakni orang yang hadir pada forum itu). Aku rasa, umur mereka lebih kurang umur aku juga. Dapat dilihat melalui paras rupa, gaya percakapan dan semangat muda-mudi yang kuat mempertahankan idea masing-masing.

Jika ke majlis Biro Tatanegara, Modul Kecemerlangan Akademik, Modul Itu dan Ini dan sebagainya, rata-rata panel atau penceramah yang memberikan kata-kata adalah orang tua. Dan penyampaian mereka juga adalah sama sahaja setiap kali ke majlis seperti ini. Aku tidak mahu kata lebihlah tentang perkara ini tetapi suka aku mengaitkan cerita mengenai idea ini dengan teks Melayu lama.

Pernah terdengar kisah Singapura dilanggar todak? Kisah ini aku tidak pasti samada ianya tercatat dalam buku Sejarah Melayu atau tidak. Tetapi aku pernah terbaca buku lagenda ini semasa kecil dahulu. Suka aku mengaitkan teks-teks agung ini kerana ianya mampu hidup sepanjang zaman. Begitu juga dengan mitos dan teks kuno Yunani. Nietzsche juga turut mengambil mitos dan kisah kuno Greek untuk dijadikan falsafahnya. Kebanyakan buku-buku dan falsafah yang diterbitkan dan dihasilkan adalah terkesan dari mitos-mitos ini.

Seperti sedia maklum, semasa Singapura dilanggar todak, terdapat seorang Sultan yang memerintah negeri itu. Suatu hari, banyak todak telah menyerang pantai di mana kawasan tersebut terdapat perkampungan dan aktiviti yang dijalankan di situ. Akibatnya, ramailah penduduk yang tidak dapat keluar untuk menjalankan aktiviti di pesisir pantai tersebut. Maka, Sultan pun pening memikirkan apakah jalan untuk menghalang serangan todak tersebut. Maka, dikhabarkan kepada seluruh penduduk agar membina benteng betis untuk menghalang serangan todak. Sultan mengatakan, dengan menahan serangan menggunakan betis kaki manusia, maka serangan todak dapat dihapuskan. Maka berbarislah rakyat di sepanjang pesisir pantai untuk menangkis serangan todak. Malangnya, todak yang menyerang tidak sekadar menikam betis tetapi turut menikam bahagian badan lain. Akibatnya, ramai penduduk yang mati.

Sultan semakin runsing memikirkan tentang serangan todak yang tidak henti-henti itu. Kemudian datang budak kecil bernama Hang Nadim kepada Sultan yang berada dalam kegusaran. Hang Nadim adalah anak kepada Hang Jebat dan Dang Wangi. Selepas Jebat dibunuh, Wangi sempat membawa satu-satunya benih Jebat untuk diselamatkan. Maka, Hang Nadim ini dibesarkan tanpa bapa.

Pada ketika ini, aku menganggapkan bahawa, Wangi tidak langsung menceritakan kisah bagaimana bapanya dibunuh oleh Tuah atas kesalahan menderhaka kepada Sultan. Seolah-olah Wangi cuba hidup kembali sebagai seorang yang neutral. Membuka kisah baru dalam hidupnya. Jika Nadim tahu Sultanlah yang menyebabkan kematian bapanya, aku rasa mesti dia tak berikan ideanya kepada Sultan. Oh, mari kita kembali. Apa ideanya?

Maka, apabila melihat kegusaran Sultan, Hang Nadim pun datanglah memberikan ideanya. Hang Nadim mencadangkan bahawa betis manusia itu digantikan dengan batang pisang. Idea yang bernas itu diterima oleh Sultan dan para pembesar diraja termasuk Bendahara dan beberapa orang lagi. Maka, dikhabarkan kepada penduduk rakyat pada ketika itu supaya mencari batang pisang dan diletakkan sepanjang pesisir pantai untuk menghalang serangan todak yang menombak ke pesisir pantai. Muncung todak yang tertusuk ke batang pisang telah menyekat serangan todak.

Akhirnya, keadaan pun menjadi selamat. Idea Nadim itu membuahkan hasil. Akan tetapi timbul prasangka Bendahara. Prasangka ini ditimbulkan pula kepada Sultan. Bendahara mengatakan jika budak sekecil ini sudah mampu berfikir sebijak ini, tidak mustahil jika dia besar nanti, dia juga turut mampu mengalahkan kebijaksanaan Sultan. Sekaligus mengambil alih tampuk pemerintahan. Sultan dan Bendahara yang kaki bodek menjadi paranoia. Mereka memikirkan jalan terbaik untuk menghalang Hang Nadim dari mengambil alih tampuk pemerintahan. Akhirnya, mereka mengambil kata putus untuk membunuh Hang Nadim.

Hang Nadim telah diculik pada waktu malam. Dia diikat dan dicampakkan ke dalam laut. Begitulah berakhirnya kisah Hang Nadim. Pembunuhan Hang Nadim juga turut mematikan satu-satunya keturunan Hang Jebat.

Jika dilihat kini, ada dua cara untuk mematikan idea. Mengikut cara lama, adalah dengan membunuh tetapi cara moden adalah dengan mengurung. Dengan cara ini, idea-idea dan semangat-semangat yang dibawa akan turut terkubur lantaran ketakutan orang lain menerima nasib yang sama. Dan medium untuk mengurung adalah dengan adanya satu kuasa superior seperti kuasa Sultan dan Bendahara dalam kisah Hang Nadim itu tadi.

Dalam konteks Malaysia, ianya bolehlah disamakan dengan Internal Security Act (ISA). Biasanya mereka yang ditahan ini adalah mereka yang dilihat terlalu bebas untuk bersuara, berdemonstrasi jalanan, mengadakan perhimpunan haram dan sebagainya. Pendapat mereka mampu mempengaruhi orang ramai. Idea-idea mereka mudah diterima oleh orang ramai. Lantaran seperti kisah Hang Nadim tadi, ISA digunakan untuk membunuh. Membunuh apa? Membunuh idea. Dengan cara mengurung mereka dalam tahanan. Mereka tidak dibunuh secara fizikal tetapi idea mereka itu dibunuh. Mereka yang dikurung ini sudah pasti tidak akan dapat melantangkan suara dan idea mereka kepada awam lagi. Justeru itu, perkembangan idea mereka sudah pasti akan turut terkurung. Dan jika masih ada yang mahu bersuara lagi, mereka ini ditangkap dan turut dikurung.

Penahanan pemimpin Hindraf contohnya yang dilihat mampu menyebarkan idea dan semangat kesamarataan hak yang dituntut kepada kaum India yang lain. Jadi apabila beberapa pemimpin Hindraf ini ditahan, mereka yang lain akan turut senyap lantaran takut dibunuh (baca: dikurung). Pemimpin-pemimpin takut dengan kelantangan idea mereka ini mampu menggugat kedudukan mereka sebagai pemimpin yang ‘berwibawa’. Mereka yang ditahan ini, dikatakan boleh membawa kepada kehuru-haraan negara. Tetapi sebenarnya mereka paranoia. Sama seperti Sultan dan Bendahara di dalam kisah Singapura Dilanggar Todak itu. Mereka takut idea-idea mereka yang menuntut kesamarataan hak ini mampu menggugat keselesaan yang dikecapi selama ini.

Dari teks kuno ini juga kita dapat lihat, betapa jakinya mereka dengan Jebat dan keturunannya. Dengan membunuh Jebat dan anaknya Nadim, mereka mahu mengecapi kehidupan selesa hakiki buat selama-lamanya. Selesa di tampuk pemerintahan. Dan ini menjadi persoalan aku. Jika kisah kuno Singapura Dilanggar Todak ini diceritakan kepada masyarakat, mereka semestinya memihak kepada Nadim sebagai hero. Akan tetapi jika kisah ISA ini diceritakan kepada masyarakat, ‘Nadim’ itu dianggap penjahat. Agak pelik sebenarnya pemahaman mereka ini. Atau masyarakat tidak pandai membaca makna dalam teks Melayu lama? Atau masyarakat di sini memang tak suka membaca? oh.. suka membaca tetapi baca akhbar Utusan Malaysia sahajalah.

Teater Wangi Jadi Saksi (U-Wei Hj Shaari) turut memperlihatkan masalah ini. Wangi yang menjadi saksi kepada siapa pembunuh sebenar suaminya, Jebat turut dinafikan haknya menjelaskan kebenaran hanya kerana dia seorang wanita dan dayang istana pada ketika itu. Begitulah rendahnya taraf rakyat pada ketika itu (dan sekarang ini) sehingga hak-hak kebenaran yang sepatutnya dinafikan sewenang-wenangnya oleh golongan pembesar istana.

Jadi, senangkan mahu membunuh idea. Bunuh atau kurung.

p/s: rindu dengan teater Wangi Jadi Saksi.